Muzik Sebagai Terapi Tekanan

Muzik adalah kehidupan dan apakah pula kaitannya antara muzik dan tekanan? Tekanan atau ‘stress’ didefinisikan sebagai sebarang jenis desakan yang memberi kesan kepada kehidupan harian seseorang.  Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan telah mendefinisikannya sebagai  ‘suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya’.

Tahukah anda terdapat pelbagai terapi untuk menghilangkan tekanan dan salah satu daripadanya adalah dengan menggunakan medium muzik? Ini kerana muzik adalah cukup sinonim dengan kehidupan harian kita di mana ia boleh memberi kesan positif yang mendalam kepada badan dan minda manusia.

1)      Minda dan fizikal

pexels-photo-761963.jpeg

Muzik dapat memulihkan dan memelihara kesihatan fizikal dan mental. Anda cuba bayangkan dengan gaya hidup sekarang setiap hari masa anda dipenuhi dengan pelbagai masalah khususnya di tempat kerja. Setidak-tidaknya, dengan mendengar muzik seketika ternyata akan memberikan suasana rehat, santai dan rangsangan emosi positif ke otak.

 

2)      Terapi Kesihatan

people-woman-girl-technology.jpg

Dari sudut kesihatan pula, tempo muzik juga berpengaruh terhadap dengupan jantung, tekanan darah dan sedikit sebanyak dapat mengurangi hormon penyebab tekanan. Kajian menunjukkan dengan mendengar muzik yang tepat sambil bernafas perlahan-lahan selama 30 minit dapat menurunkan tekanan darah. Bukan itu sahaja, muzik juga mungkin boleh membantu merehatkan minda pesakit dalam kes kemurungan. Ternyata ubat-ubatan sahaja tidak mencukupi bukan?

 

3) Keceriaan Wajah

pexels-photo-235534.jpeg

Dengan menghayati muzik kegemaran, sedikit sebanyak boleh mendatangkan mood gembira dan secara tidak langsung juga boleh menceriakan wajah seseorang. Justeru,  dari situ dapat menyuntik aura positif ke minda dan akan mengurangkan tekanan. Harus diingat, jiwa yang tenang terpancar melalui air muka seseorang. Maka secara tidak langsung keceriaan itu boleh menyerlahkan lagi kecantikan seseorang individu.

 

4) Menghilangkan tekanan semasa mengulangkaji pelajaran

pexels-photo-261909.jpeg

Mungkin ada yang tidak menggalakkan belajar sambil mendengar muzik. Tetapi tahukah anda adakalanya belajar sambil mendengar muzik boleh juga menghilangkan tekanan menjelang peperiksaan. Sebenarnya ia terpulang kepada individu itu. Ada yang gemar mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang sunyi dan tidak kurang pula yang memerlukan muzik ketika belajar. Apa tidaknya, sambil mendengar muzik anda boleh mengulangkaji tanpa tekanan dan pada masa yang sama masih boleh berhibur.

 

 5) Pemilihan Muzik

pexels-photo-351265 (1).jpeg

Setiap manusia mempunyai kelainan citarasa. Ada di antara kita yang suka mendengar lagu bercorak ketuhanan, instrumental dan tidak kurang pula yang suka mendengar lagu yang rancak. Mungkin pada sesetengah individu, muzik rock adalah medium terbaik untuk melepaskan amarah atau perasaan yang terpendam!

 

Kesimpulannya, jadikan muzik sebagai satu medium untuk mengurangkan tekanan. Namun harus diingat, ianya harus mengikut batas dan tidak melalaikan. Anda boleh saja memilih muzik ringan yang anda sukai setiap hari contohnya lagu bercorak motivasi dan ketuhanan yang boleh membuat jiwa anda berasa tenang.

Anda mempunyai pendapat lain untuk dikongsikan mengenai muzik sebagai terapi tekanan? Sila lontarkan komen membina anda di ruangan di bawah.