Jadikan Earth Hour Satu Jam Masa Berharga Bersama Keluarga

earth-earth-at-night-night-lights-41949.jpeg

Earth Hour bakal tiba. Acara saban tahun ini akan berlangsung pada  hari Sabtu, 24 Mac 2018, dari 8.30 hingga 9.30 malam. Earth Hour bukan sekadar memadamkan lampu. Sesi satu jam ini, simbolik keprihatinan dan komitmen kita untuk sama-sama menjaga bumi.

Apa kata untuk tahun ini, kita pastikan sambutan Earth Hour kita lebih bermakna?  Daripada duduk diam tanpa melakukan apa-apa sepanjang tempoh 'lampu padam’, lebih baik kita jadikan Earth Hour sebagai satu kesempatan meluangkan masa bersama keluarga. Ekspresikan kreativiti anda. Rancang sesuatu buat pasangan dan ahli keluarga yang lain. Di bawah ini ada beberapa cadangan menarik untuk dipertimbangkan.

Anjurkan aktiviti permainan atau ‘game night’.

pexels-photo-776654.jpeg

Bermain permainan bersama yang tersayang pasti menyeronokkan. Pilih jenis permainan yang mudah untuk disertai oleh setiap ahli keluarga misalnya charades, domino, permainan kad atau permainan papan seperti Sahibba dan Monopoli. Dengan suasana dan perancangan yang betul, disertai hidangan snek, anda pasti tidak akan menduga betapa meriah dan terhiburnya anda melakukan aktiviti ini bersama keluarga.

 

Tonton filem atau rancangan televisyen kegemaran.

popcorn-movie-party-entertainment.jpg

Inilah masa yang sesuai untuk seisi keluarga menonton sambil bersantai. Berkumpul di ruang rehat, dapatkan posisi yang selesa  dan tontonlah filem atau rancangan televisyen kegemaran bersama-sama. Jangan lupa sediakan popcorn, kerepek kentang dan juga minuman. Pasti setiap ahli keluarga anda akan menghargai detik ini. Di samping menonton, tempoh ini juga boleh dimanfaatkan untuk bertukar khabar dan cerita antara satu sama lain.

 

Sertai Earth Hour di luar.

pexels-photo-341378.jpeg

Bagi yang mempunyai anak kecil, bawalah si cilik anda keluar dan pilih lokasi yang mengambil bahagian dalam acara Earth Hour misalnya KLCC. Biarkan mereka teruja melihat proses lampu-lampu dipadamkan. Secara tidak langsung, kita dapat menyuntik semangat menghargai bumi dalam jiwa mereka. 


Tidak sempat membuat sebarang rancangan keluar sempena Earth Hour? Mudah sahaja. Ambil angin malam bersama keluarga di beranda, balkoni atau halaman rumah. Nikmati angin segar yang bertiup, lihat dan renung keindahan kerlipan bintang-bintang di langit. Biar Earth Hour jadi momen untuk kita lebih dekat dengan alam sekitar dan menghargainya.

 

Makan malam istimewa.

pexels-photo-262882.jpeg

Ambil peluang ini untuk membuat kejutan pada pasangan anda - makan malam dengan diterangi cahaya lilin.  Menarik bukan? Cipta suasana romantik penuh kasih sayang di ruang kediaman anda sebagai tanda penghargaan anda buat si dia. Anda boleh memasak sendiri hidangan istimewa atau beli makanan kegemarannya. 

 

Masa untuk manjakan diri.

love-romantic-bath-candlelight.jpg

Jika anda terlalu sibuk dengan rutin harian, rebut peluang ini untuk memanjakan diri.  Anjurkan sesi spa mini di rumah dan ajak ahli keluarga yang lain turut serta. Buatlah rawatan muka, rawatan rambut (dan jangan lupa untuk memastikan kulit anda kekal lembap) menggunakan produk kecantikan pilihan anda. Urutan kaki atau refleksologi juga boleh membantu meredakan keletihan disebabkan seharian bekerja. Berehat dan bertenang. Segarkan kembali diri anda, bersedia untuk menempuh hari esok.

 

Bersedia untuk Earth Hour? Mari kita sama-sama #Connect2Earth. Tidak sesukar mana pun. Bermula 8.30 malam hinggalah ke 9.30 malam, tutup semua lampu yang tidak digunakan di rumah. Kumpulkan semua ahli keluarga, mula lakukan aktiviti bersama-sama. Pastikan Earth Hour 2018 merupakan antara fasa indah yang dilalui bersama insan-insan kesayangan anda. Anda ada cadangan aktiviti lain yang boleh dilakukan? Kongsikan di ruang komen di bawah.